Kerajaan negeri akan terus menggalakkan keusahawanan di kalangan para belia bagi mengurangkan penghijrahan golongan itu ke bandar sekaligus melahirkan belia yang berdaya saing.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk merealisasikan impian itu, termasuk meminta semua agensi merapatkan jurang dengan menggunakan platform komunikasi, sinonim dengan para belia.
Menurut beliau, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan oleh kerajaan negeri melalui agensi persekutuan dan negeri berkaitan, beberapa kawasan perindustrian baru di Perak seperti di Kamunting, Taiping dan Bagan Datoh membolehkan mereka mendapat kerja.
“Belia-belia tidak perlu lagi berhijrah ke bandar, selain itu pendekatan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), Yayasan Bina Upaya (YBU) dan pelbagai agensi dari kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat dalam mengenalpasti serta menyediakan peluang di setiap daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan lisan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampong Gajah) di Sidang DUN di Ipoh pada Rabu.
Dalam pada itu, Shahrul menambah, perubahan dasar umur belia daripada 15-40 tahun kepada 15- 30 pada 2018 kelak, sedikit sebanyak memberi ruang buat golongan itu untuk menyerlahkan sifat kepimpinan masing-masing.
Katanya, Dasar Belia Malaysia akan mentakrifkan belia dari 15 hingga 30 tahun, perubahan ini dibuat untuk beri peluang mereka ambil alih persatuan belia dan lahirkan lebih ramai pemimpin di usia awal 30 tahun.
“Selain itu kita mahu mereka menjalinkan hubungan baik di antara belia tidak kira di peringkat mana sekalipun,” katanya.
Sumber :peraknews.com